KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM5.38 juta untuk memantapkan keberkesanan Pelan Tindakan One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Subtance (MIDS) di negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan yang diluluskan itu bagi pendapatkan peralatan dan instrumen taktikal berasaskan teknologi ‘artificial intelligence’ (AI).
Jelasnya ia seperti mesin pengimbas bahan narkotik untuk diletakkan di pusat-pusat kargo lapangan terbang utama di Sarawak, alat pengesan dadah dan alat pengesan penyalahgunaan dadah.
“Hasil kolaborasi secara bersepadu di kalangan ahli penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan dalam OSC MIDS Sarawak sudah memberi impak positif mengikut statistik yang dilaporkan sepanjang Julai 2021.
“Malah, setakat Julai lepas, sebanyak 114 siri program pencegahan dan pendidikan pencegahan telah dilaksanakan oleh OSC MIDS Daerah di tempat kerja, di institusi pendidikan dan dalam komuniti,” katanya dalam sidang media OSC MIDS Negeri Sarawak di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah memberitahu, bagi tempoh Julai 2021, sebanyak 3 peratus iaitu sebanyak enam orang ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak yang mempunyai kaitan dengan isu dadah dan substance.
“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus berbanding dengan Jun 2021 iaitu sebanyak 24 orang,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, beliau menyeru supaya komuniti di Sarawak terus berganding bahu serta bekerjasama membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance di Sarawak. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS